2015年2月8日星期日

Koperasi Kedai Sewa Buku

Amalan membaca ialah satu amalan yang baik. Walaupun demikian, buku-buku yang diimport dari luar negara adalah mahal tetapi buku-buku inilah dapat menyuntik idea baharu ke dalam masyarakat. Harga buku yang terlalu tinggi merupakan salah satu faktor penghalang penyebaran idea. Misalnya, sebuah buku Bahasa Inggeris dari US harganya boleh mencapai beratus-ratus ringgit. Harga ini tidak dapat ditanggung oleh rakyat biasa.

Untuk meningkatkan peredaran buku import dalam masyarakat dan memperkasakan penyebaran idea baharu ke dalam masyarakat, pelbagai pendekatan boleh digunakan, termasuk pendekatan sosial dan pendekatan bisines.

Pendekatan Sosial

Aktiviti buku jalanan merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kadar membaca masyarakat. Dalam aktiviti ini, pihak penganjur akan mengumpulkan sejumlah buku dan membawa buku-buku ini ke sesuatu tapak seperti taman awam. Orang awam boleh meminjam buku ini secara percuma dan hanya perlu meninggalkan nama dan telefon sahaja. 

Selain itu, penganjur juga akan mengadakan bedah buku di tapak yang sama. Dengan itu, orang awam boleh mendapat manfaat daripada buku berkenaan tanpa membacanya secara langsung.

Mengikut maklumat yang saya ada, aktiviti buku jalanan sudah pun ada di Malaysia contohnya Buku Jalanan UM, Buku Jalanan Shah Alam.

Satu lagi pendekatan sosial untuk meningkatkan kadar membaca dalam masyarakat ialah program pertukaran buku. Pihak penganjur akan menentukan satu tarikh bagi pertukaran buku. Orang awam boleh membawa buku untuk bertukar dengan orang lain.

Program Subang Jaya Book Exchange mempunyai tapaknya sendiri. Mereka memiliki satu kontena yang diletakkan di satu tempat. Sejumlah buku sudah pun dikumpul di sana dan orang awam boleh membawa satu buku untuk letak di sana, kemudian mengambil buku yang ada di situ. Sukarelawan akan memantau pertukaran ini dan memastikan buku yang dibawa oleh orang awam adalah boleh diterima.  


Pendekatan Bisnes

Cara yang paling menerus untuk menurunkan harga buku import adalah menerbitkannya semula di Malaysia. Buku bahasa Inggeris dari luar negara boleh diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan kemudian dicetak di dalam negara. Harganya lebih rendah kerana dicetak di sini.

Namun begitu, kerja ini adalah rumit. Penerbit perlu menerbitkan buku jenis ini dengan cukup banyak demi mencipta satu trend membaca dan membentuk satu grup pembaca yang sentiasa membeli buku jenis ini. Hanya dengan itu buku jenis ini akan terjual dan pulangannya dapat menutup kos penerbitan.

Pembaca buku import yang sedia ada rata-ratanya pandai dalam bahasa Inggeris dan tidak perlu teks penterjemahan. Mereka daripada golongan atasan dan mempunyai keupayaan untuk membeli buku import. Ini bermaksud mereka tidak perlu dan tiada kebiasaan membeli buku import yang diterbitkan semula.

Bagi golongan pembaca yang sebelum ini tidak biasa membaca buku import pula, mereka tidak berminat membaca buku jenis ini dan secara automatik tidak akan membeli buku ini.

Oleh itu, penerbit perlu mencipta trend baharu menerusi pelbagai program dan ini akan memakan belanja yang tinggi.

Kedai Sewa Buku mungkin merupakan penyelesaian masalah ini. Bagi masyarakat Melayu, kedai sewa buku adalah sesuatu yang agak asing. Namun begitu, kedai sewa buku agak popular dalam masyarakat Cina. Walaupun demikian, kedai sewa buku yang ada kebanyakannya menawarkan komik dan bacaan ringan sahaja.

Dengan adanya kedai sewa buku, pembaca berpeluang membaca buku import yang mahal dengan harganya yang lebih rendah. Misalnya, mereka boleh membaca buku yang berharga seratus ringgit dengan membayar sewa sepuluh ringgit.

Namun demikian, kita kena tahu Kedai Sewa Komik boleh survive kerana komik diterbitkan secara bersambung dan pembaca akan membaca secara terus menerus untuk mengetahui kesudahan cerita. Selain itu, komik juga lebih cepat untuk dibaca dan ini bermaksud ia merupakan fast moving goods.

Bahan bacaan yang berat pula perlu masa yang panjang untuk dibaca. Pembacanya pula tidak ramai. Buku yang letak di kedai mungkin tidak akan diusik untuk masa yang lama sehingga tidak menjana pendapatan kepada kedai berkenaan. Walaupun pengusaha tidak perlu sentiasa memasuk stok baharu, kos operasi seperti sewa kedai perlu dibayar apabila sampai masanya. Akhirnya, kedai ini akan tumbang kerana gagal membayar sewa kedai.

Pendekatan Hibrid

Pendekatan ini bermaksud untuk menggabungkan pendekatan sosial dan pendekatan bisnes. Bisnes bermotifkan keuntungan. Kedai sewa buku yang menawarkan buku import adalah sukar untuk survive dan menjana pulangan kepada pelabur. Oleh itu, pendekatan hibrid boleh diambil.

Orang yang mengharapkan wujudnya kedai sewa buku import ialah pembaca buku-buku ini. Pembaca boleh menubuhkan koperasi untuk mewujudkan kedai ini.

Koperasi ialah organisasi yang ditubuhkan untuk memenuhi kepentingan ahlinya. Dalam senario ini, apa yang diharapkan oleh pembaca bukan keuntungan yang boleh dapat daripada wang yang dilaburkan ke dalam koperasi tetapi peluang untuk membaca buku dengan harga yang rendah. Selagi koperasi ini dapat maintain sebuah kedai sewa buku, dan ahlinya mempunyai akses kepada buku-buku ini, maka koperasi ini dikira berjaya.

Tapak yang digunakan oleh koperasi untuk menjalankan operasi menyewakan buku boleh dijalankan di pejabat-kediaman. Tempat ini mungkin merupakan rumah yang dihuni oleh pengurus. Dengan itu, koperasi boleh menjimat sewa kedai. Ini bermaksud buku adalah disimpan di rumah pengurus.

Pejabat-kediaman yang berada di kawasan perumahan adalah diperbolehkan oleh undang-undang selagi ia tidak menimbulkan gangguan kepada jiran.

Pengguna bagi perkhidmatan ini ialah ahli koperasi ini sendiri. Mereka akan membayar fi kemasukan semasa menjadi ahli dan wang ini akan diguna untuk membeli buku. Selain itu, ahli juga boleh menderma buku kepada koperasi untuk menambah lagi buku yang dimiliki koperasi.

Pilihan buku yang dibeli adalah berdasarkan perundian melalui sistem ICT. Wang sewa buku yang dikutip akan diguna untuk membayar server, dan juga gaji kepada pengurus. Jika ada lebihan wang selepas membayar kos operasi, maka wang ini akan diguna untuk membeli buku baharu.

Ahli juga dikenakan deposit. Jika ahli gagal memulangkan buku maka dia tidak akan dibenarkan menyewa buku lagi.

Semakin banyak ahli, maka semakin banyaklah fi yang dikutip. Dengan itu buku yang boleh dibeli juga akan bertambah. Kadar penyewaan buku juga akan meningkat.

Demi meningkatkan jumlah ahli dan meningkatkan kadar penyewaan, pemasaran perlu sentiasa dilakukan. Laman web koperasi perlu sentiasa dikemas kini untuk memaparkan buku yang ada agar ahli tertarik untuk menyewa buku berkenaan.

Jika kadar penyewaan buku meningkat, maka koperasi akan memiliki wang lebihan untuk membeli buku baharu dan ini akan menambah pilihan kepada ahli. Dengan itu, ahli akan menikmati manfaat yang lebih.

Kesimpulan

Artikel ini bukan satu bisnes plan kerana tidak melibatkan pengiraan. Menubuhkan sebuah koperasi adalah tidak mudah kerana melibatkan perkara undang-undang. Model ini juga boleh dijalankan di bawah kerangka NGO.

Plan ini hanya akan berjaya jika koperasi berkenaan mampu menawarkan buku yang cukup banyak dan menepati kemahuan ahli.