2015年3月7日星期六

Pemasaran MLM Sebagai Faktor Peningkatan Harga Barang

Petikan ini bertujuan membuktikan pemasaran MLM meningkatkan harga barang dengan mengambil contoh  Tune Talk-Tone Excel sebagai contoh.

Tune Talk


Tune Talk merupakan Mobile Virtual Network Operator (MVNO) yang beroperasi di Malaysia sejak tahun 2008.  Mobile Virtual Network Operator merupakan syarikat yang tidak memiliki infrastruktur telekomunikasi, tetapi menawarkan khidmat telekomunikasi kepada pengguna. MVNO akan membeli talian daripada syarikat yang mempunyai infrastruktur telekomunikasi secara pukau, dan menjual kepada pengguna secara runcit.

Tune Talk yang dimaksudkan di sini, ialah syarikat yang menggunakan infrastruktur Celcom. Dengan kata lain, mereka yang mendaftar sebagai pengguna Tune Talk akan menikmati kemudahan daripada infrastruktur Celcom. Kekuatan talian yang dinikmati oleh mereka adalah sama seperti pengguna Celcom yang lain.


Syarikat MVNO seperti Tune Talk dapat memberi manfaat kepada syarikat yang memiliki infrastruktur kerana syarikat MVNO dapat menyelesaikan masalah pemasaran bagi syarikat yang memiliki infrastruktur. Ini seumpama petani yang menjual hasil tanamannya kepada peraih. Dengan menjual hasil tanaman kepada peraih, petani boleh dapat wang tunai secara terus tanpa memikirkan masalah pemasaran.


Tune Talk-Tone Excel


Tone Excel merupakan syarikat MLM yang membantu Tune Talk memasarkan produk mereka. Produk Tone Excel merupakan pakej telekomunikasi Tune Talk yang bergabung dengan peluang berniaga. Produk ini bernama "Tone Talk-Tune Excel".


Dengan kata lain, Celcom sub sebahagian kerja pemasaran kepada Tune TalkTune Talk pula sub sebahagian kerja pemasaran yang diterima daripada Celcom kepada Tune Talk-Tune Excel. (dah dua paras)


Pengguna Tune Talk-Tone Excel dapat menikmati talian Tune Talk berserta dengan manfaatnya seperti insurans percuma, mata ganjaran yang boleh menukar hadiah seperti pengguna Tune Talk yang lain. Perbezaannya ialah, pengguna Tune Talk-Tone Excel berpeluang menikmati pendapatan berterusan jika merekomen produk ini kepada orang lain.


Tune Talk-Tone Excel berfungsi seperti MLM yang lain. Mereka yang berminat perlu membayar yuran kemasukan. Di sini, pengguna Tune Talk-Tone Excel perlu membayar RM90 kepada Tone Excel. Pengguna akan mendapat satu sim card yang mengandungi nilai kredit bernilai RM30. Maksudnya, yuran kemasukan ialah RM60.


Selepas itu, pengguna boleh mula mengajak orang menyertai program Tune Talk-Tone Excel. Jika orang ini bersetuju, maka ia akan menjadi orang yang kamu taja. Kamu akan mendapat komisyen 6% setiap kali orang yang ditaja topup. Jika orang yang ditaja mengajak orang lain masuk lagi, kamu juga akan mendapat komisyen daripada topup downlinenya. Keadaan ini berterusan sehingga paras yang ketiga.


Syarat lain untuk mendapat komisyen termasuk:

  1. Top Up RM 20 setiap bulan.
  1. Berjaya mengumpul komisyen sebanyak RM30 pada setiap bulan.


Kelebihan Tune Talk-Tone Excel 

Berbanding dengan pakej MLM yang lain, Tune Talk-Tone Excel mempunyai kelebihannya sendiri. Pertama, produk yang dijual merupakan produk penggunaan setiap hari. Mahu tak mahu, kita perlu  topup pada setiap bulan dan ini akan berlaku secara berterusan. Maksudnya, kamu akan mendapat komisyen daripada downline kamu secara berterusan.


Yang kedua, yuran kemasukannya adalah rendah dengan itu risikonya juga rendah. Kalau tak dapat mengajak orang masuk pun, boleh dapat talian telefon dan hadiah yang berkenaan pada setiap bulan. 



Masalah Tune Talk-Tone Excel


Jika kita lihat betul-betul pakej Tune Talk-Tone Excel adalah lebih mahal daripada pakej Tune Talk. Contohnya panggilan seminit Tune Talk ialah RM 0.16/minit manakala panggilan Tune Talk-Tone Excel ialah RM 0.28/minit. Ini bermakusd Tune Talk-Tone Excel adalah 75% lebih mahal daripada Tune Talk. 







Ini bermaksud mereka yang mengguna Tune Talk-Tone Excel perlu membayar harga yang lebih tinggi berbanding dengan pengguna Tune Talk untuk mendapat perkhidmatan telekomunikasi yang sama.

Ini adalah disebabkan pemasaran MLM merupakan sesuatu yang makan kos dan kos itu akhirnya pasti akan ditanggung oleh pengguna sendiri. (Dalam dunia ini, tiada kos yang akan ditanggung oleh peniaga selepas barang itu dijual)

Sebagai contoh, setiap kali seorang pengguna membeli perkhidmtan tune talk melalui Tune Talk-Tone Excel dia perlu membayar komisyen kepada uplinenya sebanyak 3 level, 20% secara total. Ini bermaksud setiap kali dia topup 100 ringgit, pengguna perlu membayar RM20 sebagai komisyen,

Mengikut pengiraan saya, Tune Talk-Tone Excel masih mendapat keuntungan walaupun sebahagian bayaran yang diterimanya perlu dibayar balik kepada tune talk dan pengguna sebagai komisyen.

Saya andai Tone Excel membeli talian tune talk dengan RM 0.16 untuk seminit, sama seperti harga yang perlu dibayar oleh pengguna biasa.

Jika seorang pengguna topup RM100 melalui Tone Excel, dia akan dapat airtime sebanyak 357 minit. 357 minit airtime memakan kos 57 ringgit bagi pihak Tone Excel jika Tone Excel membeli talian ini daripada Tune Talk dengan harga RM 0.16@seminit. Bakinya 43 ringgit. Selepas ditolak komisyen yang perlu dibayar kepada 3 level pengguna(RM 20) Tone Excel masih tinggal baki  RM 23.

Pengiraan ini hanya untuk menunjukkan bahawa harga barang akan menjadi lebih mahal jika dipasarkan melalui MLM. Kos pemasaran per unit barangan berkenaan adalah sangat tinggi kerana setiap kali urus niaga berlaku komisyen perlu dibayar kepada ahli dan pada masa yang sama syarikat MLM juga perlu mengutip keuntungan.


Pembayaran Tidak Produktif

Selepas berjaya mengajak seorang baru masuk ke skim ini, pengguna akan menikmati komisyen setiap kali daripada orang baharu ini topup, walaupun tidak buat apa-apa.

Ada yang kata, ini ganjaran yang wajar diberi kepada pengguna ini kerana pengguna ini telah buat sesuatu untuk memujuk orang baharu mengguna produk ini.

Apa yang pengguna ini buat sebenarnya ialah menemukan pengguna dengan produk yang sesuai dan di sini berlaku penciptaan nilai. Produk tidak akan bernilai jika tidak bertemu dengan penggunanya. Pembayaran kepada pengguna yang mengajak orang masuk pada peringkat ini adalah produktif kerana wujud penciptaan nilai.

Walaupun demikian, pembayaran seterusnya akan menjadi pembayaran tidak produktif. Pengguna perlu membayar komisyen kepada upline walaupun uplinenya tidak buat apa-apa untuk kepentingan dirinya. Pembayaran komisyen ini tidak menambah apa-apa nilai kepada produk yang diguna.

Pembayaran komisyen kepada pengguna yang mengajak orang guna produk tertentu seharus berakhir semasa orang baru bersetuju untuk guna produk berkenaan. Ini disebabkan tiada sebarang pekerjaan berlaku selepas peringkat ini.

Wujudnya pembayaran tidak produktif merupakan ciri-ciri MLM yang paling ketara dan punca utama masalahnya.

Namun begitu, untuk menjawab soalan "adakah MLM memberi manfaat kepada pengguna secara umum" adalah sukar kerana pada ketika pengguna membayar harga yang lebih tinggi untuk membeli, mereka juga menerima komisyen daripada pengguna lain pada masa yang sama.

Soalan ini akan dijawab nanti.

2015年2月24日星期二

Pendekatan Holistik

Perkataan "pendekatan holistik" bermaksud bermaksud pendekatan (approach) yang menggabungkan beberapa cara. Cara-cara ini dilaksanakan secara serentak untuk menyelesaikan sesuatu masalah.Lawan kepada pendekatan holistik ialah pendekatan berfokus.

Dalam soalan kertas 1 SPM, pelajar sentiasa diminta untuk membincangkan satu masalah, sama ada tentang punca atau sebab berlakunya sesuatu masalah, ataupun cara ataupun langkah-langkah menyelesaikan masalah.

Contoh:

Perubahan cuaca dunia yang tidak menentu perlu diberikan perhatian. Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan pada peringkat antarabangsa untuk menangani perkara tersebut. (SPM 2014)

Untuk menghuraikan penyelesaian masalah melalui pendekatan berfokus adalah lebih sukar berbanding dengan menghuraikan penyelesaiakan masalah melalui pendekatan holistik. Ini adalah disebabkan skop penyelesaiaan masalah melalui pendekatan berfokus adalah lebih sempit berbanding dengan pendekatan holistik.


Komponen Dalam Pendekatan Holistik


Balik kepada dunia sebenar, pendekatan holistik adalah lebih kerap digunakan untuk menyelesaikan seuatu masalah dalam masyarakat. Dengan kata lain, untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam masyarakat, kita selalunya menggunakan beberapa cara secara serentak. Dalam menyelesaikan masalah dalam masyarakat, cara yang boleh digunakan tidak lain daripada:

Undang-undang

Contohnya dalam menyelesaikan masalah peningkatan kadar kemalangan jalan raya, kerajaan boleh menangkap mereka yang memandu secara bahaya dan sumbat mereka ke dalam penjara. Apa-apa yang berkaitan dengan polis, mahkamah, hukuman, penjara, denda, penguat kuasa, dan sebagainya termasuk dalam kategori ini.

Undang-undang bukan sesuatu yang wujud secara semula jadi. Secara umumnya, undang-undang dibuat oleh kerajaan. Seseorang tidak akan dihukum walaupun bersalah jika tiada peruntukan undang-undang yang berkenaan. Contohnya,  jika kerajaan tidak membuat undang-undang yang mengharamkan kegiatan mencuri, maka orang yang mencuri tidak akan dihukum.

Rangkai kata "membuat undang-undang" adalah istilah yang umum. Istilah yang lebih tepat untuk merujuk maksud "membuat undang-undang" ialah "mengubal undang-undang".

Dari segi teknikal, parlimen yang berkuasa untuk mengubal undang-undang, Tapi tak salah kita kata "kerajaan buat undang-undang."

Selepas undang-undang wujud, penguatkuasaan perlu dilaksanakan. Polis perlu bertindak menangkap orang yang bersalah. Tindakan ini dipanggil "penguatkuasaan undang-undang". Jika tidak, undang-undang tidak akan membawa kesan.

Bagi menyelesaikan sesuatu masalah, kerajaan boleh mengadakan undang-undang yang lebih ketat. Maksudnya mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah berkenaan.

Selepas itu, polis perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih giat dan lebih tegas, seperti mengadakan operasi secara besar-besaran.  Operasi yang dimaksudkan di sini termasuk sekatan jalan(road block), serbuan ke tempat kegiatan haram, menahan orang yang mencurigakan dan sebagainya.

Soalan: Untuk menyelesaikan masalah pembalakan haram, polis harus mengadakan sekatan jalan di mana? 



Berkempen

Perkataan kempen berasal daripada perkataan Inggeris Campaign. Kempen bermaksud tindakan untuk mengubah fikiran dan sikap orang ramai. Tindakan ini termasuk, mengadakan ceramah, pengedaran risalah(flyer),  menyiarkan iklan TV, melekat poster pada tempat awam, mendirikan papan iklan di tepi jalan dan sebagainya.


Fikiran atau sikap anggota masyarakat merupakan salah satu punca sesuatu masalah dalam masyarakat. Contoh:


  1. Ponteng: Sikap pelajar yang malas belajar.
  2. Kemalangan Jalan Raya: Sikap pemandu yang tidak mengutamakan keselamatan.
  3. Rasuah: Sikap pegawai yang tidak amanah dan orang ramai yang suka menyogok pegawai.
  4. Pembalakan Haram: Sikap pembalak yang mementingkan diri sendiri.
  5. Kemerosotan sukan: [...]
Untuk menyelesaikan masalah di atas, apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan kempen untuk mengubah sikap orang berkenaan.

Tujuan kempen ialah mengubah fikiran atau sikap golongan tertentu. Pada masa yang sama, ia juga memupuk kesedaran tertentu.

Kesedaran (awareness) bermaksud keadaan seseorang yang tahu tentang sesuatu. Contohnya, orang yang mempunyai kesedaran sejarah tahu tentang sejarah dan tahu menghargai sejarah. Orang yang mempunyai kesedaran keselamatan jalan raya tahu tentang benda-benda berkaitan dengan keselamatan jalan raya dan tahu menjaga keselamatan diri di jalan raya.


Persekitaran/Infrastruktur

Sesuatu masalah dapat dikurangkan dengan mengubah persekitaran atau membina infrastruktur tertentu di sesuatu kawasan. Contoh:

  1. Masalah kemalangan jalan raya: membina jalan yang lebih selamat.
  2. Masalah Jenayah: memasang CCTV, lampu jalan.
  3. Masalah banjir kilat: terowong SMART 
  4. Masalah Ponteng: membina tembok.
  5. Masalah kemerosotan sukan: membina stadium.
  6. Masalah kejiranan/komuniti: membina dewan komuniti
  7. Masalah AIDS/Kanser/Denggi: Hospital Pakar AIDS
  8. Masalah Kemerosotan Penguasaan Bahasa Inggeris: Maktab Bahasa Inggeris
  9. Masalah gelendangan: Pusat Penempatan gelendangan.
Bagi menggalakkan sesuatu kegiatan, pihak berkenaan boleh membina infrastruktur yang memudahkan kegiatan berkenaan. Contohnya:

Masalah kesesakan jalan raya boleh dikurangkan jika pemandu kereta menukar cara bergerak mereka daripada memandu kereta kepada menunggang motosikal. Demi menggalakan pemandu kereta tukar kepada menunggang motosikal, kerajaan boleh mencipta satu persekitaran yang lebih mesra kepada penunggang motosikal. Contohnya, membina lebih banyak lorong motosikal dan juga tempat letak motosikal.

Satu lagi contoh ialah kitar semula. Untuk menggalakkan rakyat mengamalkan kitar semula bahan buangan, kerajaan perlulah membina pusat kitar semula di semua tempat. 


Pengupayaan

Pengupayaan(empowerment) bermaksud memberi keupayaan kepada seseorang untuk buat sesuatu. Dengan kata yang lebih mudah, mengajar seseorang untuk buat sesuatu. 

Contohnya, andaikan Malaysia mengalami masalah kekurangan beras. Oleh itu, kerajaan mengajar orang muda menanam padi. Selepas itu, orang muda ini pergi menanam padi. Akhirnya, pengeluaran padi negara bertambah, masalah kekurangan beras terselesai.  


Pengupayaan boleh dilakukan melalui bengkel, sesi latihan, kelas dan sebagainya.

Pengupayaan juga melibatkan pemberian peralatan, kuasa kepada golongan tertentu untuk buat sesuatu.

Contoh masalah dan pengupayaan yang boleh dilakukan:


  1. Masalah Pencemaran: Mengajar rakyat cara untuk mengurangkan pencemaran.
  2. Masalah Jenayah: Memberi rakyat pistol dan kuasa untuk menembak penjenayah.
  3. Masalah Disiplin Sekolah: Memberi kuasa kepada guru untuk menghukum pelajar bermasalah.
  4. Masalah Pengangguran: Memberi latihan kepada belia yang menganggur.
  5. Masalah kemerosotan akademik pelajar: Mengajar ibu bapa cara mengajar anak-anak membuat kerja rumah.

Kesimpulan

Artikel ini bertujuan membantu pelajar SPM/PT3 untuk mendapatkan isi semasa menjawab soalan karangan. Walaupun di sebalik itu terdapat hikmah yang lebih mendalam.

Kertas soalan peperiksaan subjek Bahasa Melayu selalu meminta pelajar menulis karangan tentang penyelesaian masalah kerana ingin melatih pelajar supaya menjadi seorang yang mempunyai "fikiran berorientasikan penyelesaian masalah".

Pelajar diharapkan menjadi seorang yang berfokus pada penyelesaian masalah dan bukan seorang yang leka dalam merungut tentang masalah yang dihadapi.




Ihtikar Dalam Pasaran Hartanah

Ihtikar merujuk kepada amalan menyorok barang demi mencipta situasi kekurangan penawaran barangan, untuk meningkatkan harga barangan.Amalan ini adalah haram di sisi Islam.

Perbuatan mencipta kekurangan barangan sebenarnya boleh dilakukan tanpa menyorok barang. Pada zaman 1990, pernah berlaku kekurangan simen di pasaran. Menurut tauke kedai logam pada masa itu, kilang-kilang simen sengaja memperlahankan pengeluaran sebagai protes terhadap harga siling yang terlalu rendah.

Walau bagaimana pun, kita juga kena tahu jika harga sesuatu barang terlalu rendah, secara automatik pengeluaran akan diperlahankan. Apabila harga sesuatu barangan lebih rendah daripada kos per unit, maka pengeluar terpaksa mengberhentikan operasinya dan menunggu harganya naik kembali.


Kos Menyorok Barang


Berbeza dengan barangan, penawaran tanah tidak boleh ditingkatkan melalui perbuatan manusia. Selain itu, tanah tidak ada tarikh luput. Jika peniaga-peniaga menyorok barang seperti beras, dia sebenarnya tidak dapat menyorok benda ini terlalu lama. Ini kerana beras boleh menjadi rosak jika disimpan terlalu lama. Selain itu, menyorok barangan juga memerlukan ruang dan ini akan menjadi satu beban kepada peniaga sendiri.

Untuk mencipta kekurangan penawaran di pasaran melalui amalan menyorok barang sebenarnya memerlukan kesepakatan antara peniaga. Jika peniaga A menyorok barang tetapi peniaga B pula tidak, peniaga B akan dapat untung lebih kerana semua orang akan membeli barang daripada dia. Peniaga A pula menanggung kerugian kerana terpaksa membayar kos menyorok barang.

Dengan kata lain, amalan menyorok hanya akan berkesan jika wujudnya monopoli.


Monopoli Penawaran Tanah


Tidak seperti barangan lain, tanah merupakan sesuatu yang tiada tarikh luput. Tanah tidak akan rosak buat selama-lamanya melainkan ia ditenggelami air akibat pemanasan global. Selain itu, "menyorok tanah" juga tidak melibatkan kos seperti menyorok barang. Pemilik tanah tidak rugi apa-apa jika membiarkan tanah ditumbuhi lalang.

Oleh itu, timbul satu fenomena orang ramai berebut-rebut untuk membeli hartanah dengan tujuan pelaburan, atau dengan kata lain menunggu harganya naik. Contohnya, ada yang membeli unit pangsapuri tetapi tidak mendiaminya. Tiada orang sanggup menyewa rumah dia kerana sewanya tinggi. Pemilik itu pula tidak sanggup menurunkan kadar sewa demi menarik penyewa.

Motif pemilik ini cuma ada satu sahaja. Mendapat keuntungan berganda semasa harga rumah melambung naik, walaupun mungkin perlu menunggu masa 20 tahun. Dia tidak sanggup menyewakan rumahnya dengan kadar yang lebih rendah mungkin kerana kadar itu lebih rendah daripada ansuran bulanan yang perlu dibayar kepada bank. Rugi rasanya.

Sebenarnya mentaliti seperti ini adalah tidak rasional, kerana dirinya tidak menyedari bahawa "sedikit lebih baik daripada tiada" dan "rugi kecil lebih baik daripada rugi besar".

Jika hartanah di pasaran habis disapu oleh pelabur yang mempunyai mentaliti seperti ini, yakni pelabur yang tujuannya tidak lain daripada menunggu harga rumah naik, maka penawaran rumah di pasaran akan menurun dan harga rumah akan melambung tinggi.

Ini adalah kerana rumah yang ada ditahan dalam tangan pelabur ini, dan mereka tidak melepaskannya melainkan dengan harga yang sangat tinggi. Dengan keyakinan harga rumah akan terus naik, mereka terus menahan rumah berkenaan. Semakin lama mereka bertahan, semakin naiklah harga rumah.

Apabila harga rumah melambung tinggi, maka ia hanya mampu dibeli oleh pelabur yang sangat kaya.

Akhirnya, kebanyakan hartanah akan berada dalam tangan segelintir orang yang sangat kaya. Dengan itu, satu keadaan monopoli akan berlaku.

Jika monopoli tanah berlaku, maka masyarakat ini tidak akan menjadi adil.


Penyelesaian Masalah Ini

Jika tempoh geran tanah adalah infiniti, maka keadaan ini pasti akan berlaku. Perbuatan "menyorok tanah" adalah merugikan jika tempoh geran tanah adalah pendek.

Jika geran tanah ialah 30 tahun, pemiliknya tidak akan dapat apa-apa jika sekadar menunggu harga tanahnya naik. Nilai tanah dia akan terus menyusut selari dengan masa. Jika dia berdegil dan tidak menyewakan tanah dia kepada orang lain selama 30 tahun ini, maka dia akan tanggung rugi besar.

Jika kerajaan mengenaikan cukai hartanah setiap tahun, perbuatan menyimpan tanah mungkin akan menjadi beban jika pemiliknya mengambil tindakan menunggu.

Keadaan berbeza jika geran tanah itu adalah infiniti. Walaupun usia manusia adalah terhad, hartanah yang menjadi harta warisan masih boleh memberi manfaat kepada anak-anaknya.



Kesimpulan

Masalah kenaikan harga rumah boleh diselesaikan melalui mekanisme penawaran dan permintaan. Masalah akan berlaku jika wang dalam pasaran mengalir kepada pihak yang tidak produktif.

Adakah wajar pelabur mendapat keuntungan berganda daripada fenomena kenaikan harga rumah? Adakah aktiviti pelaburan dalam hartanah sesuatu yang produktif?

Isu ini akan dibincangkan nanti.

2015年2月20日星期五

Pemikiran Platform

Istilah platfrom merupakan istilah yang kerap digunakan pada beberapa tahun ini. Dalam buku What Would Google Do yang dikarang oleh Jeff Jarvis, telah menyatakan bahawa untuk berjaya dalam business alam siber, seseorang perlu menjadikan dirinya sebagai platform.

Hal ini tidak sukar difahami. Google merupakan platfrom, Youtube merupakan platform, Alibaba merupakan platform dan Facebook juga merupakan platform. Laman web ini berjaya kerana dirinya merupakan platform.

Platform merupakan tempat pengeluar dan pengguna bertemu. Sebenarya ia mirip kepada orang tengah Tanpa perantaraan ini, pengeluar dan pengguna tidak akan bertemu sehingga jual beli tidak berlaku. Ironinya, istilah orang tengah mempunyai maksud konotasi yang negatif. Bahkan menteri pertanian telah mengisyhtiharkan tahun 2014 sebagai tahun perang jihad terhadap penguasaan orang tengah.

Platform Alam Nyata

Platform perniagaan sudah lama wujud. Sebenarnya ia ada di mana-mana. Pasar merupakan platform yang paling mudah. Cara paling mudah untuk memulakan busines platform ialah membeli sebidang tanah dan bina satu pasar, Pemilik pasar boleh menjana pendapatan dengan mengutip sewa daripada mereka yang jual sayur dan ikan di situ. Pemilik juga boleh menyediakan pelbagai kemudahan seperti shutter bas untuk menarik pelanggan ke situ.  Jika pelanggan yang mengunjung ke situ bertambah, kadar sewa boleh ditingkatkan kerana pendapatan orang yang berniaga di situ akan bertambah sehingga mampu untuk membayar sewa yang lebih tinggi. 

Satu lagi bisnes platform yang sudah lama wujud ialah kedai kopi. Pengusaha kedai kopi akan membeli atau menyewa sebuah kedai. Kemudian, pengusaha ini akan menyewakan gerai di dalam kedai kopi kepada pengusaha gerai makanan. Manakala dirinya pula hanya menjual teh dan kopi dan bertanggungjawab ke atas kebersihan kedai berkenaan.


Platform Alam Siber

Busines platform mula menarik perhatian selepas keberjayaan Google, Facebook, dan laman web yang lain. Ramai yang mula meniru model busines platform. Malahan, sesetengah NGO juga mengaplikasikan model platform. Misalnya, petfinder yang mempertemukan haiwan jalanan yang diselamatkan orang dengan mereka yang ingin mendapat haiwan kesayangan.

Platform alam siber cenderung untuk menjadi monopoli. Kedudukan laman web yang sudah menjadi monopoli sukar untuk dicabar. Ini adalah kerana nilai laman platform meningkat selari dengan jumlah penggunanya. Kita lebih suka mengunjung ke pasar yang ada lebih ramai peniaga kerana ini bermaksud pilihan di sana lebih banyak dan harga barangan di sana mungkin lebih rendah atas faktor persaingan.

Faktor kejayaan sesebuah platform alam siber tidak terletak pada nasib tetapi kekuatan teknologi yang dimiliki. Google berjaya kerana ia mampu mencarikan pengguna maklumat yang menepati keperluannya dengan cepat.


Peluasan Makna Platform    

 Platformization ataupun "penplatforman" . Istilah ini merupakan istilah IT pada asalnya tetapi mula diterapkan ke dalam dunia pengurusan.

Menurut apa yang saya terbaca dalam sebuah post FB, entiti perniagaan mula menuju ke arah plaformization. Maksudnya, sifat pekerja telah bertukar kepada mereka yang melaksanakan arahan dari atas kepada orang yang menggunakan syarikat sebagai platform untuk mengeluarkan potensi diri yang terpendam. Katanya, pekerja yang berkebolehan cenderung untuk berhijrah ke tempat bekerja yang mempunyai ruang untuk menyerlahkan kebolehan dan bakat. Ini berlawanan dengan pendapat bahawa pekerja yang berkebolehan cenderung untuk berhijrah ke tempat yang menawarkan gaji yang tinggi.

Dengan kata lain, syarikat perlu bertukar kepada platform kepada pekerja untuk memanfaatkan kebolehan pekerja secara optimum dan menarik mereka yang betul-betul berbakat ke situ.

Walaupun demikian, perubahan ini juga akan menimbulkan masalah dalam pengurusan, dan hanya syarikat yang mampu mengatasi masalah ini akan berjaya.


Kesimpulan

Bumi ini kaya dengan sumber. Dengan teknologi pengeluaran yang ada, sumber di atas bumi sebenarnya cukup untuk seluruh manusia jika pengagihannya dilakukan secara efisien. Masalah pengagihan sangat bergantung pada faktor informasi, dan perkembangan IT telah membuka peluang untuk menyelesaikan masalah ini.
Pemikiran platform merupakan pemikiran tentang platform apa yang perlu diwujudkan dan cara untuk mengoperasinya supaya ia mampan dan memberi manfaat kepada pengeluar dan pengguna.

Walaupun platform berniaga di Malaysia sama ada di alam siber dan alam nyata sudah pun banyak, tetapi saya dapati masih ada plaform yang belum ada.  

2015年2月9日星期一

Kajian Senario: Pengguna Elektrik Mengambil Alih TNB

Tarif elektrik telah naik bermula dari 1 Januari 2015. Kadar kenaikannya adalah lebih kurang 15%. Pada ketika perkara ini menjadi buah mulut orang ramai, TNB mengumumkan bahawa untung bersih bagi syrikat pada tahun 2014 elah mencecah 42.79 billion. Hal ini telah menyebabkan golongan tertentu berasa tidak puas hati kerana mereka berasa kenaikan ini adalah tidak wajar memandangkan TNB masih beruntung di bawah rangka tarif yang lama.

Kenaikan tarif elektrik dilihat hanya menguntungkan TNB dan bertentangan dengan kepentingan pengguna. Malah, mereka yang termakan propaganda Marxisme berpendapat TNB merupakan syarikat kroni yang mengaut keuntungan dengan mengetepikan kepentingan rakyat.

Saya tidak pasti sama ada TNB itu syarikat kroni atau tidak. Mengikut maklumat daripada wikipedia, TNB merupakan syarikat awam(Public Company) yang disenaraikan di Bursa Saham.  Sesiapa juga boleh membeli syer TNB jika pemegang syer yang sedia ada sanggup menjual. Sekiranya saham ini ada pada tangan mereka yang dikategorikan sebagai kroni, maka TNB adalah syarikat kroni. Walaupun demikian, perkara ini tidak boleh disahkan kerana saya tidak tahu siapakah pemegang syer TNB.

Keadaan mungkin akan berubah jika TNB diambil oleh sebuah koperasi yang ahlinya terdiri daripada semua pengguna elektrik di Malaysia. Maksudnya, setiap orang yang membayar bil elektrik pada masa yang sama merupakan salah seorang pemilik TNB.

Jika TNB mendapat keuntungan, maka yang dapat untung ialah ahli koperasi ini yakni pengguna elekrtik sendiri. Dengan itu, suara bising seperti "TNB anti pengguna" dan lain-lain lagi tidak akan muncul lagi. Barangkali Malaysia akan menjadi aman kerana itu.



Senario A: Koperasi Elektrik Setempat

Ini merupakan satu senario yang direka. Pada suatu hari, Penduduk Kampung Pasir berasa perkhidmatan TNB adalah tidak baik dan mereka tidak sanggup membeli elektrik daripada TNB lagi. Disebabkan TNB merupakan syarikat yang memonopoli pasaran elekrtik, satu-satunya pilihan untuk penduduk ialah menubuhkan satu koperasi dan menjana elektrik di kampung berkenaan.

Semua penduduk telah bersepakat dan mengumpulkan wang kemudian menubuhkan sebuah koperasi. Koperasi telah menggunakan modal permulaan ini untuk membeli beberapa generator diesel dan memasang talian elektrik ke setiap rumah.

Kemudian, koperasi ini mengutip bayaran daripada penduduk pada setiap bulan untuk membeli diesel dan mengupah juruteknik untuk maintain sistem ini.

Dengan itu, penduduk tidak lagi perlu membayar kepada TNB tetapi masih dapat menikmati kemudahan elektrik.

Walaupun demikian, tindakan ini adalah merugikan penduduk kerana pengeluaran koperasi ini tidak menikmati economy of scale. Semakin besar kuantiti pengeluaran, semakin rendahlah kos per unit. Dalam skala satu kampung, kos pengeluaran per unit elektrik pasti akan lebih tinggi daripada TNB sehinggakan penduduk kampung terpaksa membayar lebih.

Kita juga kena tahu bahawa, elektrik tidak boleh disimpan. Genarator perlu berjalan 24 jam jika mahu memastikan bekalan elektrik tidak terputus. Pembaziran diesal boleh berlaku pada waktu tengah malam ketika penduduk kampung tidur kerana genarator masih berjalan tetapi elektrik yang terhasil tidak diguna. Jika generator ditutup pada waktu ini, walaupun boleh menjimat diesal, ia akan menyebabkan tiada bekalan elektrik pada waktu berkenaan.

Senario B: Koperasi Elektrik Kebangsaan 

Demi menikmati economy of scale, jaringan eletrik perlu diluaskan semaksimum yang mungkin. Menyedari hakikat ini, semua rakyat Malaysia telah bersatu dan menubuhkan koperasi elektrik kebangsaan. Setiap pengguna elektrik telah menjadi ahli bagi koperasi ini.

Koperasi ini telah membeli kesemua syer TNB dan menjadi pemilik tunggal TNB. Keuntungan TNB akan masuk ke dalam poket ahli yakni pengguna elektrik sendiri. 

Masalahnya, koperasi merupakan organisasi yang demokrasi. Setiap ahli mempunyai hak untuk membuat keputusan melalui pengundian.  Dengan kata lain, ahli sebenarnya mempunyai hak untuk menentukan tarif elektrik melalui proses demokrasi. Misalnya, mungkin akan muncul seorang yang ingin menjadi presiden yang berkempen pada sebelum Mesyuarat Ahli Agung dengan menjanjikan akan menurunkan tarif elektrik jika berjaya menang dalam pemilihan.

Maksudnya, politik akan masuk dan keputusan yang terhasil mungkin tidak rasional.

Barangkali tarif elektrik yang dijanjikan itu rendah tetapi hanya cukup untuk menutup kos operasi sahaja. Modal untuk masa depan tidak diambil kira. Ahli mungkin masih memilih presiden yang mencadangkan benda ini atas faktor emosi.

Pada jangkaan saya, koperasi ini tidak akan tahan lama kerana di Malaysia ada geng BN dan geng PR. Ahli geng yang saling berlawan ini akan duduk di dalam koperasi yang sama dan mereka akan membawa konflik ini ke dalam koperasi.

Sudah tentu, koperasi ini akan tenggelam dalam konflik sesama ahli.

Kesimpulan


Koperasi merupakan sesuatu yang ideal tetapi mempunyai banyak masalah. Lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini. 


2015年2月8日星期日

Koperasi Kedai Sewa Buku

Amalan membaca ialah satu amalan yang baik. Walaupun demikian, buku-buku yang diimport dari luar negara adalah mahal tetapi buku-buku inilah dapat menyuntik idea baharu ke dalam masyarakat. Harga buku yang terlalu tinggi merupakan salah satu faktor penghalang penyebaran idea. Misalnya, sebuah buku Bahasa Inggeris dari US harganya boleh mencapai beratus-ratus ringgit. Harga ini tidak dapat ditanggung oleh rakyat biasa.

Untuk meningkatkan peredaran buku import dalam masyarakat dan memperkasakan penyebaran idea baharu ke dalam masyarakat, pelbagai pendekatan boleh digunakan, termasuk pendekatan sosial dan pendekatan bisines.

Pendekatan Sosial

Aktiviti buku jalanan merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kadar membaca masyarakat. Dalam aktiviti ini, pihak penganjur akan mengumpulkan sejumlah buku dan membawa buku-buku ini ke sesuatu tapak seperti taman awam. Orang awam boleh meminjam buku ini secara percuma dan hanya perlu meninggalkan nama dan telefon sahaja. 

Selain itu, penganjur juga akan mengadakan bedah buku di tapak yang sama. Dengan itu, orang awam boleh mendapat manfaat daripada buku berkenaan tanpa membacanya secara langsung.

Mengikut maklumat yang saya ada, aktiviti buku jalanan sudah pun ada di Malaysia contohnya Buku Jalanan UM, Buku Jalanan Shah Alam.

Satu lagi pendekatan sosial untuk meningkatkan kadar membaca dalam masyarakat ialah program pertukaran buku. Pihak penganjur akan menentukan satu tarikh bagi pertukaran buku. Orang awam boleh membawa buku untuk bertukar dengan orang lain.

Program Subang Jaya Book Exchange mempunyai tapaknya sendiri. Mereka memiliki satu kontena yang diletakkan di satu tempat. Sejumlah buku sudah pun dikumpul di sana dan orang awam boleh membawa satu buku untuk letak di sana, kemudian mengambil buku yang ada di situ. Sukarelawan akan memantau pertukaran ini dan memastikan buku yang dibawa oleh orang awam adalah boleh diterima.  


Pendekatan Bisnes

Cara yang paling menerus untuk menurunkan harga buku import adalah menerbitkannya semula di Malaysia. Buku bahasa Inggeris dari luar negara boleh diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan kemudian dicetak di dalam negara. Harganya lebih rendah kerana dicetak di sini.

Namun begitu, kerja ini adalah rumit. Penerbit perlu menerbitkan buku jenis ini dengan cukup banyak demi mencipta satu trend membaca dan membentuk satu grup pembaca yang sentiasa membeli buku jenis ini. Hanya dengan itu buku jenis ini akan terjual dan pulangannya dapat menutup kos penerbitan.

Pembaca buku import yang sedia ada rata-ratanya pandai dalam bahasa Inggeris dan tidak perlu teks penterjemahan. Mereka daripada golongan atasan dan mempunyai keupayaan untuk membeli buku import. Ini bermaksud mereka tidak perlu dan tiada kebiasaan membeli buku import yang diterbitkan semula.

Bagi golongan pembaca yang sebelum ini tidak biasa membaca buku import pula, mereka tidak berminat membaca buku jenis ini dan secara automatik tidak akan membeli buku ini.

Oleh itu, penerbit perlu mencipta trend baharu menerusi pelbagai program dan ini akan memakan belanja yang tinggi.

Kedai Sewa Buku mungkin merupakan penyelesaian masalah ini. Bagi masyarakat Melayu, kedai sewa buku adalah sesuatu yang agak asing. Namun begitu, kedai sewa buku agak popular dalam masyarakat Cina. Walaupun demikian, kedai sewa buku yang ada kebanyakannya menawarkan komik dan bacaan ringan sahaja.

Dengan adanya kedai sewa buku, pembaca berpeluang membaca buku import yang mahal dengan harganya yang lebih rendah. Misalnya, mereka boleh membaca buku yang berharga seratus ringgit dengan membayar sewa sepuluh ringgit.

Namun demikian, kita kena tahu Kedai Sewa Komik boleh survive kerana komik diterbitkan secara bersambung dan pembaca akan membaca secara terus menerus untuk mengetahui kesudahan cerita. Selain itu, komik juga lebih cepat untuk dibaca dan ini bermaksud ia merupakan fast moving goods.

Bahan bacaan yang berat pula perlu masa yang panjang untuk dibaca. Pembacanya pula tidak ramai. Buku yang letak di kedai mungkin tidak akan diusik untuk masa yang lama sehingga tidak menjana pendapatan kepada kedai berkenaan. Walaupun pengusaha tidak perlu sentiasa memasuk stok baharu, kos operasi seperti sewa kedai perlu dibayar apabila sampai masanya. Akhirnya, kedai ini akan tumbang kerana gagal membayar sewa kedai.

Pendekatan Hibrid

Pendekatan ini bermaksud untuk menggabungkan pendekatan sosial dan pendekatan bisnes. Bisnes bermotifkan keuntungan. Kedai sewa buku yang menawarkan buku import adalah sukar untuk survive dan menjana pulangan kepada pelabur. Oleh itu, pendekatan hibrid boleh diambil.

Orang yang mengharapkan wujudnya kedai sewa buku import ialah pembaca buku-buku ini. Pembaca boleh menubuhkan koperasi untuk mewujudkan kedai ini.

Koperasi ialah organisasi yang ditubuhkan untuk memenuhi kepentingan ahlinya. Dalam senario ini, apa yang diharapkan oleh pembaca bukan keuntungan yang boleh dapat daripada wang yang dilaburkan ke dalam koperasi tetapi peluang untuk membaca buku dengan harga yang rendah. Selagi koperasi ini dapat maintain sebuah kedai sewa buku, dan ahlinya mempunyai akses kepada buku-buku ini, maka koperasi ini dikira berjaya.

Tapak yang digunakan oleh koperasi untuk menjalankan operasi menyewakan buku boleh dijalankan di pejabat-kediaman. Tempat ini mungkin merupakan rumah yang dihuni oleh pengurus. Dengan itu, koperasi boleh menjimat sewa kedai. Ini bermaksud buku adalah disimpan di rumah pengurus.

Pejabat-kediaman yang berada di kawasan perumahan adalah diperbolehkan oleh undang-undang selagi ia tidak menimbulkan gangguan kepada jiran.

Pengguna bagi perkhidmatan ini ialah ahli koperasi ini sendiri. Mereka akan membayar fi kemasukan semasa menjadi ahli dan wang ini akan diguna untuk membeli buku. Selain itu, ahli juga boleh menderma buku kepada koperasi untuk menambah lagi buku yang dimiliki koperasi.

Pilihan buku yang dibeli adalah berdasarkan perundian melalui sistem ICT. Wang sewa buku yang dikutip akan diguna untuk membayar server, dan juga gaji kepada pengurus. Jika ada lebihan wang selepas membayar kos operasi, maka wang ini akan diguna untuk membeli buku baharu.

Ahli juga dikenakan deposit. Jika ahli gagal memulangkan buku maka dia tidak akan dibenarkan menyewa buku lagi.

Semakin banyak ahli, maka semakin banyaklah fi yang dikutip. Dengan itu buku yang boleh dibeli juga akan bertambah. Kadar penyewaan buku juga akan meningkat.

Demi meningkatkan jumlah ahli dan meningkatkan kadar penyewaan, pemasaran perlu sentiasa dilakukan. Laman web koperasi perlu sentiasa dikemas kini untuk memaparkan buku yang ada agar ahli tertarik untuk menyewa buku berkenaan.

Jika kadar penyewaan buku meningkat, maka koperasi akan memiliki wang lebihan untuk membeli buku baharu dan ini akan menambah pilihan kepada ahli. Dengan itu, ahli akan menikmati manfaat yang lebih.

Kesimpulan

Artikel ini bukan satu bisnes plan kerana tidak melibatkan pengiraan. Menubuhkan sebuah koperasi adalah tidak mudah kerana melibatkan perkara undang-undang. Model ini juga boleh dijalankan di bawah kerangka NGO.

Plan ini hanya akan berjaya jika koperasi berkenaan mampu menawarkan buku yang cukup banyak dan menepati kemahuan ahli.




2014年1月25日星期六

Impak Sedekah Terhadap Ekonomi, Satu Sorotan Ceramah

Sedekah sentiasa dilihat dari segi spiritual, tetapi bukan dari segi ekonomi. Kebaikan sedekah seperti apa yang disebut dalam Al-Quran sebenarnya boleh nampak dari segi ekonomi. Dalam Al-Quran disebut bahawa sedekah boleh mendatangkan kesan berganda. Firman Allah:


Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Surah Al-Baqarah:261)
Dari segi ekonomi, sedekah juga akan mendatangkan kesan berganda, dengan syarat sedekah ini merupakan sedekah yang mendatangkan hijrah kepada penerima sedekah. Misalnya, jika sedekah yang diterima oleh penerima sedekah dijadikan modal busines, busines ini akan mendatangkan kesan berpanjangan ini kepada penerima sedekah. Seterusnya, penerima sedekah ini menyedekahkan rezekinya kepada orang yang lain dan orang berkenaan mengulangi apa yang dilakukannya sebelum ini. Dengan itu, sedakah telah mendatangkan kesan berganda.

Kesan berganda sedekah juga terlihat dari segi rangsangannya terhadap pengeluaran pasaran Apabila penerima sedekah menggunakan wang untuk membeli barang, pengeluar akan menambah pengeluaran. Apabila pengeluaran bertambah, pengeluar akan mengupah lebih banyak pekerja. Dengan itu peluang pekerjaan akan tercipta.


Riba Penyebab Inflasi


Dalam ceramah yang disampaikan oleh Abdul Hadi bin Haji Jusof, pengasas Daya Fikir Solution,
juga disebut kesan negatif riba terhadap ekonomi. Katanya, riba merupakan pembayaran yang tidak produtif. Riba yang terhasil akan menambah wang di dalam pasaran sehingga menyebabkan ketidakseimbangan antara permintaan dengan penawaran sekali gus menyebabkan inflasi berlaku.

Perkara ini boleh difahami dengan memahami bahawa setiap pembayaran seharusnya dibuat untuk membayar sesuatu pengeluaran. Misalnya, wang RM 10 dibayar untuk pengeluaran seguni beras yang bernilai RM 10. Tetapi, dalam konteks pembayaran riba, wang dibayar kepada pemiutang yang tidak melakukan apa-apa. Dalam keadaan ini, wang terhasil tetapi pengeluaran tidak berlaku dan barangan dalam pasaran tidak bertambah.

Wang yang terhasil daripada riba tidak ada kaitan dengan pengeluaran dan tidak menambahkan pengeluaran dalam pasaran. Hal ini menyebabkan permintaan meningkat tetapi penawaran pula tidak meningkat. Dalam hukum ekonomi, keadaan ini akan menyebabkan harga barang naik.



Pakej Sedekah Produktif


Abdul Hadi bin Haji Jusof juga memperkenalkan satu model untuk membantu orang miskin. Dalam model ini, sebuah tapak perniagaan diadakan dan dibahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian merupakan ruang untuk disewa, dan satu bahagian ruang untuk disedekah kepada orang miskin. Pihak pengurusan akan mengutip sewa daripada mereka yang menyewa ruang untuk disewa sebagai kos penyelenggara dan sebagai wang untuk disedakah kepada orang miskin yang menduduki ruang untuk disedakah. Wang ini dijadikan modal perniagaan kepada orang miskin ini. Daripada itu, orang miskin ini akan mencapai status mandiri dan hijrah kehidupan akan berlaku.



Kesimpulann

Daripada ceramah ini, saya dapati sedakah boleh dijadikan sebagai agen transformasi sosial. Banyak syarikat yang mengamalkan CSR demi tujuan pemasaran dan penjenamaan. Tetapi CSR tidak setakat meningkatkan nilai jenama sesebuah syarikat tetapi kesannya yang lebih mendalam adalah terletak pada impaknya terhadap persekitaran ekonomi syarikat berkenaan.

Apabila persekitaran ekonomi bertambah baik menerusi CSR yang diamalkan oleh sesebuah syarikat, survival syarikat berkenaan akan menjadi lebih mudah. Jika sedekah yang disalurkan kepada masyarkat berjaya meningkatkan ekonomi negara, maka syarikat berkenaan mempunyai ruang yang lebih besar untuk berkembang.