2015年2月9日星期一

Kajian Senario: Pengguna Elektrik Mengambil Alih TNB

Tarif elektrik telah naik bermula dari 1 Januari 2015. Kadar kenaikannya adalah lebih kurang 15%. Pada ketika perkara ini menjadi buah mulut orang ramai, TNB mengumumkan bahawa untung bersih bagi syrikat pada tahun 2014 elah mencecah 42.79 billion. Hal ini telah menyebabkan golongan tertentu berasa tidak puas hati kerana mereka berasa kenaikan ini adalah tidak wajar memandangkan TNB masih beruntung di bawah rangka tarif yang lama.

Kenaikan tarif elektrik dilihat hanya menguntungkan TNB dan bertentangan dengan kepentingan pengguna. Malah, mereka yang termakan propaganda Marxisme berpendapat TNB merupakan syarikat kroni yang mengaut keuntungan dengan mengetepikan kepentingan rakyat.

Saya tidak pasti sama ada TNB itu syarikat kroni atau tidak. Mengikut maklumat daripada wikipedia, TNB merupakan syarikat awam(Public Company) yang disenaraikan di Bursa Saham.  Sesiapa juga boleh membeli syer TNB jika pemegang syer yang sedia ada sanggup menjual. Sekiranya saham ini ada pada tangan mereka yang dikategorikan sebagai kroni, maka TNB adalah syarikat kroni. Walaupun demikian, perkara ini tidak boleh disahkan kerana saya tidak tahu siapakah pemegang syer TNB.

Keadaan mungkin akan berubah jika TNB diambil oleh sebuah koperasi yang ahlinya terdiri daripada semua pengguna elektrik di Malaysia. Maksudnya, setiap orang yang membayar bil elektrik pada masa yang sama merupakan salah seorang pemilik TNB.

Jika TNB mendapat keuntungan, maka yang dapat untung ialah ahli koperasi ini yakni pengguna elekrtik sendiri. Dengan itu, suara bising seperti "TNB anti pengguna" dan lain-lain lagi tidak akan muncul lagi. Barangkali Malaysia akan menjadi aman kerana itu.



Senario A: Koperasi Elektrik Setempat

Ini merupakan satu senario yang direka. Pada suatu hari, Penduduk Kampung Pasir berasa perkhidmatan TNB adalah tidak baik dan mereka tidak sanggup membeli elektrik daripada TNB lagi. Disebabkan TNB merupakan syarikat yang memonopoli pasaran elekrtik, satu-satunya pilihan untuk penduduk ialah menubuhkan satu koperasi dan menjana elektrik di kampung berkenaan.

Semua penduduk telah bersepakat dan mengumpulkan wang kemudian menubuhkan sebuah koperasi. Koperasi telah menggunakan modal permulaan ini untuk membeli beberapa generator diesel dan memasang talian elektrik ke setiap rumah.

Kemudian, koperasi ini mengutip bayaran daripada penduduk pada setiap bulan untuk membeli diesel dan mengupah juruteknik untuk maintain sistem ini.

Dengan itu, penduduk tidak lagi perlu membayar kepada TNB tetapi masih dapat menikmati kemudahan elektrik.

Walaupun demikian, tindakan ini adalah merugikan penduduk kerana pengeluaran koperasi ini tidak menikmati economy of scale. Semakin besar kuantiti pengeluaran, semakin rendahlah kos per unit. Dalam skala satu kampung, kos pengeluaran per unit elektrik pasti akan lebih tinggi daripada TNB sehinggakan penduduk kampung terpaksa membayar lebih.

Kita juga kena tahu bahawa, elektrik tidak boleh disimpan. Genarator perlu berjalan 24 jam jika mahu memastikan bekalan elektrik tidak terputus. Pembaziran diesal boleh berlaku pada waktu tengah malam ketika penduduk kampung tidur kerana genarator masih berjalan tetapi elektrik yang terhasil tidak diguna. Jika generator ditutup pada waktu ini, walaupun boleh menjimat diesal, ia akan menyebabkan tiada bekalan elektrik pada waktu berkenaan.

Senario B: Koperasi Elektrik Kebangsaan 

Demi menikmati economy of scale, jaringan eletrik perlu diluaskan semaksimum yang mungkin. Menyedari hakikat ini, semua rakyat Malaysia telah bersatu dan menubuhkan koperasi elektrik kebangsaan. Setiap pengguna elektrik telah menjadi ahli bagi koperasi ini.

Koperasi ini telah membeli kesemua syer TNB dan menjadi pemilik tunggal TNB. Keuntungan TNB akan masuk ke dalam poket ahli yakni pengguna elektrik sendiri. 

Masalahnya, koperasi merupakan organisasi yang demokrasi. Setiap ahli mempunyai hak untuk membuat keputusan melalui pengundian.  Dengan kata lain, ahli sebenarnya mempunyai hak untuk menentukan tarif elektrik melalui proses demokrasi. Misalnya, mungkin akan muncul seorang yang ingin menjadi presiden yang berkempen pada sebelum Mesyuarat Ahli Agung dengan menjanjikan akan menurunkan tarif elektrik jika berjaya menang dalam pemilihan.

Maksudnya, politik akan masuk dan keputusan yang terhasil mungkin tidak rasional.

Barangkali tarif elektrik yang dijanjikan itu rendah tetapi hanya cukup untuk menutup kos operasi sahaja. Modal untuk masa depan tidak diambil kira. Ahli mungkin masih memilih presiden yang mencadangkan benda ini atas faktor emosi.

Pada jangkaan saya, koperasi ini tidak akan tahan lama kerana di Malaysia ada geng BN dan geng PR. Ahli geng yang saling berlawan ini akan duduk di dalam koperasi yang sama dan mereka akan membawa konflik ini ke dalam koperasi.

Sudah tentu, koperasi ini akan tenggelam dalam konflik sesama ahli.

Kesimpulan


Koperasi merupakan sesuatu yang ideal tetapi mempunyai banyak masalah. Lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini.