2015年2月24日星期二

Pendekatan Holistik

Perkataan "pendekatan holistik" bermaksud bermaksud pendekatan (approach) yang menggabungkan beberapa cara. Cara-cara ini dilaksanakan secara serentak untuk menyelesaikan sesuatu masalah.Lawan kepada pendekatan holistik ialah pendekatan berfokus.

Dalam soalan kertas 1 SPM, pelajar sentiasa diminta untuk membincangkan satu masalah, sama ada tentang punca atau sebab berlakunya sesuatu masalah, ataupun cara ataupun langkah-langkah menyelesaikan masalah.

Contoh:

Perubahan cuaca dunia yang tidak menentu perlu diberikan perhatian. Jelaskan usaha-usaha yang dapat dilakukan pada peringkat antarabangsa untuk menangani perkara tersebut. (SPM 2014)

Untuk menghuraikan penyelesaian masalah melalui pendekatan berfokus adalah lebih sukar berbanding dengan menghuraikan penyelesaiakan masalah melalui pendekatan holistik. Ini adalah disebabkan skop penyelesaiaan masalah melalui pendekatan berfokus adalah lebih sempit berbanding dengan pendekatan holistik.


Komponen Dalam Pendekatan Holistik


Balik kepada dunia sebenar, pendekatan holistik adalah lebih kerap digunakan untuk menyelesaikan seuatu masalah dalam masyarakat. Dengan kata lain, untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam masyarakat, kita selalunya menggunakan beberapa cara secara serentak. Dalam menyelesaikan masalah dalam masyarakat, cara yang boleh digunakan tidak lain daripada:

Undang-undang

Contohnya dalam menyelesaikan masalah peningkatan kadar kemalangan jalan raya, kerajaan boleh menangkap mereka yang memandu secara bahaya dan sumbat mereka ke dalam penjara. Apa-apa yang berkaitan dengan polis, mahkamah, hukuman, penjara, denda, penguat kuasa, dan sebagainya termasuk dalam kategori ini.

Undang-undang bukan sesuatu yang wujud secara semula jadi. Secara umumnya, undang-undang dibuat oleh kerajaan. Seseorang tidak akan dihukum walaupun bersalah jika tiada peruntukan undang-undang yang berkenaan. Contohnya,  jika kerajaan tidak membuat undang-undang yang mengharamkan kegiatan mencuri, maka orang yang mencuri tidak akan dihukum.

Rangkai kata "membuat undang-undang" adalah istilah yang umum. Istilah yang lebih tepat untuk merujuk maksud "membuat undang-undang" ialah "mengubal undang-undang".

Dari segi teknikal, parlimen yang berkuasa untuk mengubal undang-undang, Tapi tak salah kita kata "kerajaan buat undang-undang."

Selepas undang-undang wujud, penguatkuasaan perlu dilaksanakan. Polis perlu bertindak menangkap orang yang bersalah. Tindakan ini dipanggil "penguatkuasaan undang-undang". Jika tidak, undang-undang tidak akan membawa kesan.

Bagi menyelesaikan sesuatu masalah, kerajaan boleh mengadakan undang-undang yang lebih ketat. Maksudnya mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah berkenaan.

Selepas itu, polis perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih giat dan lebih tegas, seperti mengadakan operasi secara besar-besaran.  Operasi yang dimaksudkan di sini termasuk sekatan jalan(road block), serbuan ke tempat kegiatan haram, menahan orang yang mencurigakan dan sebagainya.

Soalan: Untuk menyelesaikan masalah pembalakan haram, polis harus mengadakan sekatan jalan di mana? 



Berkempen

Perkataan kempen berasal daripada perkataan Inggeris Campaign. Kempen bermaksud tindakan untuk mengubah fikiran dan sikap orang ramai. Tindakan ini termasuk, mengadakan ceramah, pengedaran risalah(flyer),  menyiarkan iklan TV, melekat poster pada tempat awam, mendirikan papan iklan di tepi jalan dan sebagainya.


Fikiran atau sikap anggota masyarakat merupakan salah satu punca sesuatu masalah dalam masyarakat. Contoh:


  1. Ponteng: Sikap pelajar yang malas belajar.
  2. Kemalangan Jalan Raya: Sikap pemandu yang tidak mengutamakan keselamatan.
  3. Rasuah: Sikap pegawai yang tidak amanah dan orang ramai yang suka menyogok pegawai.
  4. Pembalakan Haram: Sikap pembalak yang mementingkan diri sendiri.
  5. Kemerosotan sukan: [...]
Untuk menyelesaikan masalah di atas, apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan kempen untuk mengubah sikap orang berkenaan.

Tujuan kempen ialah mengubah fikiran atau sikap golongan tertentu. Pada masa yang sama, ia juga memupuk kesedaran tertentu.

Kesedaran (awareness) bermaksud keadaan seseorang yang tahu tentang sesuatu. Contohnya, orang yang mempunyai kesedaran sejarah tahu tentang sejarah dan tahu menghargai sejarah. Orang yang mempunyai kesedaran keselamatan jalan raya tahu tentang benda-benda berkaitan dengan keselamatan jalan raya dan tahu menjaga keselamatan diri di jalan raya.


Persekitaran/Infrastruktur

Sesuatu masalah dapat dikurangkan dengan mengubah persekitaran atau membina infrastruktur tertentu di sesuatu kawasan. Contoh:

  1. Masalah kemalangan jalan raya: membina jalan yang lebih selamat.
  2. Masalah Jenayah: memasang CCTV, lampu jalan.
  3. Masalah banjir kilat: terowong SMART 
  4. Masalah Ponteng: membina tembok.
  5. Masalah kemerosotan sukan: membina stadium.
  6. Masalah kejiranan/komuniti: membina dewan komuniti
  7. Masalah AIDS/Kanser/Denggi: Hospital Pakar AIDS
  8. Masalah Kemerosotan Penguasaan Bahasa Inggeris: Maktab Bahasa Inggeris
  9. Masalah gelendangan: Pusat Penempatan gelendangan.
Bagi menggalakkan sesuatu kegiatan, pihak berkenaan boleh membina infrastruktur yang memudahkan kegiatan berkenaan. Contohnya:

Masalah kesesakan jalan raya boleh dikurangkan jika pemandu kereta menukar cara bergerak mereka daripada memandu kereta kepada menunggang motosikal. Demi menggalakan pemandu kereta tukar kepada menunggang motosikal, kerajaan boleh mencipta satu persekitaran yang lebih mesra kepada penunggang motosikal. Contohnya, membina lebih banyak lorong motosikal dan juga tempat letak motosikal.

Satu lagi contoh ialah kitar semula. Untuk menggalakkan rakyat mengamalkan kitar semula bahan buangan, kerajaan perlulah membina pusat kitar semula di semua tempat. 


Pengupayaan

Pengupayaan(empowerment) bermaksud memberi keupayaan kepada seseorang untuk buat sesuatu. Dengan kata yang lebih mudah, mengajar seseorang untuk buat sesuatu. 

Contohnya, andaikan Malaysia mengalami masalah kekurangan beras. Oleh itu, kerajaan mengajar orang muda menanam padi. Selepas itu, orang muda ini pergi menanam padi. Akhirnya, pengeluaran padi negara bertambah, masalah kekurangan beras terselesai.  


Pengupayaan boleh dilakukan melalui bengkel, sesi latihan, kelas dan sebagainya.

Pengupayaan juga melibatkan pemberian peralatan, kuasa kepada golongan tertentu untuk buat sesuatu.

Contoh masalah dan pengupayaan yang boleh dilakukan:


  1. Masalah Pencemaran: Mengajar rakyat cara untuk mengurangkan pencemaran.
  2. Masalah Jenayah: Memberi rakyat pistol dan kuasa untuk menembak penjenayah.
  3. Masalah Disiplin Sekolah: Memberi kuasa kepada guru untuk menghukum pelajar bermasalah.
  4. Masalah Pengangguran: Memberi latihan kepada belia yang menganggur.
  5. Masalah kemerosotan akademik pelajar: Mengajar ibu bapa cara mengajar anak-anak membuat kerja rumah.

Kesimpulan

Artikel ini bertujuan membantu pelajar SPM/PT3 untuk mendapatkan isi semasa menjawab soalan karangan. Walaupun di sebalik itu terdapat hikmah yang lebih mendalam.

Kertas soalan peperiksaan subjek Bahasa Melayu selalu meminta pelajar menulis karangan tentang penyelesaian masalah kerana ingin melatih pelajar supaya menjadi seorang yang mempunyai "fikiran berorientasikan penyelesaian masalah".

Pelajar diharapkan menjadi seorang yang berfokus pada penyelesaian masalah dan bukan seorang yang leka dalam merungut tentang masalah yang dihadapi.