Perbuatan mencipta kekurangan barangan sebenarnya boleh dilakukan tanpa menyorok barang. Pada zaman 1990, pernah berlaku kekurangan simen di pasaran. Menurut tauke kedai logam pada masa itu, kilang-kilang simen sengaja memperlahankan pengeluaran sebagai protes terhadap harga siling yang terlalu rendah.
Walau bagaimana pun, kita juga kena tahu jika harga sesuatu barang terlalu rendah, secara automatik pengeluaran akan diperlahankan. Apabila harga sesuatu barangan lebih rendah daripada kos per unit, maka pengeluar terpaksa mengberhentikan operasinya dan menunggu harganya naik kembali.
Kos Menyorok Barang
Berbeza dengan barangan, penawaran tanah tidak boleh ditingkatkan melalui perbuatan manusia. Selain itu, tanah tidak ada tarikh luput. Jika peniaga-peniaga menyorok barang seperti beras, dia sebenarnya tidak dapat menyorok benda ini terlalu lama. Ini kerana beras boleh menjadi rosak jika disimpan terlalu lama. Selain itu, menyorok barangan juga memerlukan ruang dan ini akan menjadi satu beban kepada peniaga sendiri.
Untuk mencipta kekurangan penawaran di pasaran melalui amalan menyorok barang sebenarnya memerlukan kesepakatan antara peniaga. Jika peniaga A menyorok barang tetapi peniaga B pula tidak, peniaga B akan dapat untung lebih kerana semua orang akan membeli barang daripada dia. Peniaga A pula menanggung kerugian kerana terpaksa membayar kos menyorok barang.
Dengan kata lain, amalan menyorok hanya akan berkesan jika wujudnya monopoli.
Monopoli Penawaran Tanah
Tidak seperti barangan lain, tanah merupakan sesuatu yang tiada tarikh luput. Tanah tidak akan rosak buat selama-lamanya melainkan ia ditenggelami air akibat pemanasan global. Selain itu, "menyorok tanah" juga tidak melibatkan kos seperti menyorok barang. Pemilik tanah tidak rugi apa-apa jika membiarkan tanah ditumbuhi lalang.
Oleh itu, timbul satu fenomena orang ramai berebut-rebut untuk membeli hartanah dengan tujuan pelaburan, atau dengan kata lain menunggu harganya naik. Contohnya, ada yang membeli unit pangsapuri tetapi tidak mendiaminya. Tiada orang sanggup menyewa rumah dia kerana sewanya tinggi. Pemilik itu pula tidak sanggup menurunkan kadar sewa demi menarik penyewa.
Motif pemilik ini cuma ada satu sahaja. Mendapat keuntungan berganda semasa harga rumah melambung naik, walaupun mungkin perlu menunggu masa 20 tahun. Dia tidak sanggup menyewakan rumahnya dengan kadar yang lebih rendah mungkin kerana kadar itu lebih rendah daripada ansuran bulanan yang perlu dibayar kepada bank. Rugi rasanya.
Sebenarnya mentaliti seperti ini adalah tidak rasional, kerana dirinya tidak menyedari bahawa "sedikit lebih baik daripada tiada" dan "rugi kecil lebih baik daripada rugi besar".
Jika hartanah di pasaran habis disapu oleh pelabur yang mempunyai mentaliti seperti ini, yakni pelabur yang tujuannya tidak lain daripada menunggu harga rumah naik, maka penawaran rumah di pasaran akan menurun dan harga rumah akan melambung tinggi.
Ini adalah kerana rumah yang ada ditahan dalam tangan pelabur ini, dan mereka tidak melepaskannya melainkan dengan harga yang sangat tinggi. Dengan keyakinan harga rumah akan terus naik, mereka terus menahan rumah berkenaan. Semakin lama mereka bertahan, semakin naiklah harga rumah.
Apabila harga rumah melambung tinggi, maka ia hanya mampu dibeli oleh pelabur yang sangat kaya.
Akhirnya, kebanyakan hartanah akan berada dalam tangan segelintir orang yang sangat kaya. Dengan itu, satu keadaan monopoli akan berlaku.
Jika monopoli tanah berlaku, maka masyarakat ini tidak akan menjadi adil.
Penyelesaian Masalah Ini
Jika tempoh geran tanah adalah infiniti, maka keadaan ini pasti akan berlaku. Perbuatan "menyorok tanah" adalah merugikan jika tempoh geran tanah adalah pendek.Jika geran tanah ialah 30 tahun, pemiliknya tidak akan dapat apa-apa jika sekadar menunggu harga tanahnya naik. Nilai tanah dia akan terus menyusut selari dengan masa. Jika dia berdegil dan tidak menyewakan tanah dia kepada orang lain selama 30 tahun ini, maka dia akan tanggung rugi besar.
Jika kerajaan mengenaikan cukai hartanah setiap tahun, perbuatan menyimpan tanah mungkin akan menjadi beban jika pemiliknya mengambil tindakan menunggu.
Keadaan berbeza jika geran tanah itu adalah infiniti. Walaupun usia manusia adalah terhad, hartanah yang menjadi harta warisan masih boleh memberi manfaat kepada anak-anaknya.
Kesimpulan
Masalah kenaikan harga rumah boleh diselesaikan melalui mekanisme penawaran dan permintaan. Masalah akan berlaku jika wang dalam pasaran mengalir kepada pihak yang tidak produktif.Adakah wajar pelabur mendapat keuntungan berganda daripada fenomena kenaikan harga rumah? Adakah aktiviti pelaburan dalam hartanah sesuatu yang produktif?
Isu ini akan dibincangkan nanti.